Wednesday, October 8, 2008

CINTA SYAWAL

Oleh bumihijaukuning


"Suatu ketika Syawal terlibat pembicaraan dengan gurunya….

Syawal mempertanyakan makna cinta dan gurunya pun menjawab:

“Masuklah kedalam hutan, pilih dan ambillah satu batang ranting yg menurutmu paling baik, tetapi engkau haruslah berjalan ke depan dan jangan kembali ke belakang.Pada saat kau sudah memutuskan pilihanmu, keluarlah dari hutan dengan ranting tersebut”.



Maka masuklah Syawal ke dalam hutan dan keluarlah Syawal tanpa membawa sebatang ranting pun.Gurunya bertanya, maka jawab syawal: “Saya sebenarnya sudah menemukan ranting yang bagus, tetapi saya berfikir barangkali didepan saya ada ranting yang lebih baik. Tetapi setelah saya berjalan ke depan ternyata ranting yang sudah saya tinggalkan tadilah yg terbaik. Maka saya keluar hutan tanpa membawa apa-apa”.

Guru itupun berkata: “ Itulah makna Cinta ”.



Lalu Syawal pun bertanya apa makna perkawinan. Guru pun menjawab: “ Sama seperti ranting tadi, namun kali ini engkau haruslah membawa satu pokok yg kau fikir paling baik dan bawalah keluar dari hutan”.


Maka masuklah Syawal ke dalam hutan dan keluarlah Syawal dengan membawa pohon yng tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu indah.Gurunya pun bertanya, maka jawab syawal: “Saya dapati pohon yang indah daunnya, besar batangnya.. Tetapi saya tak dapat memotongnya dan pastilah saya tak mampu membawanya keluar dari dalam hutan …. Akhirnya saya tinggalkan. Kemudian saya temukan pohon yang tidak terlalu buruk, tidak terlalu tinggi dan saya fikir mampu membawanya kerana mungkin saya tidak akan menemukan pohon seperti ini di depan sana. Akhirnya saya pilih pohon ini kerana saya yakin bisa merawatnya dan menjadikanya indah”.


Lalu sang guru berkata: “ Itulah makna Perkahwinan ”.


Begitu banyak pilihan didepan kita seperti pohon pohon beserta rantingnya didalam hutan, tetapi kita mesti menentukan satu pilihan dan bila terlalu memilih tidak satu pun akan kita dapati, kerana kesempatan itu hanya sekali dan kita harus terus maju seperti waktu yang bergilir ke depan, yang tidak pernah tersimpan pada hari kelmarin dan bersemayam pada masa lalu kita.




Disakitkan-NYA kite sekejap, tapi cepat-cepat disembuhkan semula kerana cinta-NYA, disusahkan sedikit agar insaf namun segera di senangkan semula, itulah belaian-NYA.Dimarahkan juga kadang-kadang kerana sayang, namun tidak lama kerana kasih-NYA.Dipangil-pangil kepada-NYA, untuk meminta itu dan ini, Tuhan amat melayani hambanya, tapi si hamba tidak peduli langsung!!

Sunday, August 3, 2008

BISIKKAN PADA HATI:TENANGLAH....



1. Kenapa aku diuji?

Jawapannya: AL-ANKABUT ayat 2 dan 3

2. Kenapa aku tak dapat apa yang aku suka?

Jawapannya: AL-BAQARAH ayat 216

3.Kenapa ujian seberat ini?

Jawapannya: AL-BAQARAH ayat 286

4. Kenapa rasa kecewa?

Jawapannya: SURAH ALI-IMRAN ayat 139

5. Bagaimana harus aku hadapi semua ini?

Jawapannya: SURAH AL-BAQARAH ayat 45

6. Apa yang aku dapat daripada semua ini?

Jawapannya: SURAH AT-TAUBAH ayat 111

7. Kepada siapa harus ku berharap?

Jawapannya: SURAH AT-TAUBAH ayat 129

8. Aku tak tahan lagi....!

Jawapannya : SURAH YUSUF ayat 12

Muhasabah kepada diri, mampukah kita kembali kepada Al-Quran kala kita dalam kesusahan, kesempitan? Atau kita terus alpa dan leka dengan ujian dunia yang melalaikan. Mampukah kita, hamba Allah yang terlalu banyak kesilapan dan kesalahan ini kembali kepadaNYA? Tepuk dada, tanyalah iman kita. Fitrah hamba akan sentiasa menginginkan dampingan Pencipta, kembalilah kepada Allah, sebelum kita semua terlambat. Tapi harus kita ingat, bilamana kita ingin akrab denganNYA, maka dia akan menguji kita. Ikhlaskah engkau ingin berdamping dengan Allah? Atau sekadar mengharapkan sesuatu? Mohonlah padanya keikhlasan dalam berdamping, agar hati kita bisa jadi tenang dan damai dipelukan Maha Pengasih Maha Penyayang, amin!

Bila Hati Berbisik: Semakin jauhku dariMu, semakin dekat pula KAU menghampiri daku. Bilamana ingin KAU ku dekati, semakin kuat pula KAU mendugai aku. Yang pasti aku ini teramat kerdil dihadapanMU!

Thursday, July 24, 2008

SESEKALI LAYAN CERITA HINDUSTAN...

Antara Kisah Kekeluargaan yang menyebabkan ibu saya menitiskan airmata...

Kalau ikutkan, dah lama saya tak berapa berminat untuk melayan cerita hindustan terkini. Iyelah, era terkini banyak sangat aksi-aksi berahi dan berani berbanding 10 tahun yang lalu. Tak saya nafikan, cerita hindustan ni hampir 95% isinya alam khayalan (bukan semua!), diibaratkan dadah penenang bagi golongan marhaen di India yang mengalami masalah kemiskinan dan kemunduran. Sebagai jalan keluar dari semua itu, menonton cerita-cerita yang menggambarkan keindahan, keasyikan duniawi agar terlepas bebanan mereka. Tidak hairanlah saya pernah terdengar jika kisah sedih yang dipaparkan, penonton akan membakar panggung wayang kerana mereka tidak boleh menerima kenyataan tentang kesedihan dan kesengsaraan sebagai klimaks sesebuah filem.

Namun Selasa malam baru-baru ni, saya agak teruja dengan sebuah filem Hindustan yang mungkin dibikin 5 atau 6 tahun yang lepas, atau mungkin sebelum itu lagi. Tajuknya saya lupa kerana saya menontonnya hampir suku cerita, maklumlah, saya bukan lagi penggemar cerita hindustan. Masa kecil tu 'boleh kiralah' kata orang Terengganu. Filem yang dilakonkan oleh Salman Khan dan Shilpa Shetty (tahu jugak nama pelakon tu, huhuhu). Salman Khan memegang watak sebagai Ayaan seorang pemuda yang baik dan sangat mengasihi keluarganya, manakala Shilpa Shetty memegang watak sebagai Ahana, gadis yang dibesarkan oleh keluarganya dengan nilai-nilai moden dan bercita-cita untuk menjadi seorang model.

Mereka bertemu, jatuh cinta dan akhirnya berkahwin. Masalah mula timbul apabila Ahana merasakan cinta mereka sudah tidak sehangat dulu. Ayaan lebih mengutamakan keluarganya, lebih-lebih lagi mereka tinggal sebumbung. Seringkali Ahana membangkitkan perkara yang remeh-temeh yang kadangkala menduga kesabaran Ayaan, tetapi dia tetap tenang menghadapi situasi tersebut. Puncak kemarahan Ayaan tercetus apabila Ahana memalukannya dalam majlis harijadi Ahana kerana dia merasakan Ayaan melebih-lebihkan adik perempuannya berbanding Ahana sendiri. Ayaan tidak dapat menahan kesabarannya dan menampar Ahana dikhalayak ramai. Terkejut dengan sikap Ayaan, Ahana meminta cerai dan disokong oleh ibunya yang banyak mempengaruhi hidup Ahana.

Rupa-rupanya Ahana mengandung kali kedua. Sebelum ini dia keguguran kerana jatuh dari tangga rumahnya. Ayaan menyangkakan Ahana sengaja melakukannya kerana Ahana pernah kata yang dia tidak inginkan anak tersebut. Pertengkaran berlaku dan Ayaan bersetuju untuk bercerai. Tempoh setahun diberikan oleh mahkamah, sekiranya dalam tempoh tersebut, mereka tidak rujuk, maka perceraian akan diluluskan tahun berikutnya. Ayaan meminta kebenaran mahkamah agar beliau mendapat keizinan untuk menghalang Ahana dari menggugurkan anak mereka serta kebenaran untuk tinggal bersama keluarga Ahana selama dia mengandung. Pelbagai insiden yang berlaku sehinggalah kepada kelahiran bayi tersebut.

Ahana yang pada mulanya tidak sabar-sabar untuk menghabiskan tempoh itu mula tersentuh sifat keibuannya apabila melihat layanan dan kemesraan keluarga Ayaan. Tambah-tambah lagi dia mendengar luahan hati ayahnya yang selama ini bersikap banyak menurut kata-kata ibunya bukan kerana takut tetapi kerana mahu anaknya (Ahana) sentiasa gembira. Nasihat dari ayahnya benar-benar membuatkan Ahana merasa insaf dengan sikapnya selama ini dan menyedari tentang kasih seorang ibu tidak pernah berubah untuk anaknya sampai bila-bila. Selama ini Ahana merasakan yang Ayaan sekadar mencintainya kerana kecantikan yang dia miliki.



Tiba hari yang dijanjikan, Ayaan menyerahkan Ahana kepada keluarganya. Ahana cuba merayu dan memohon maaf tetapi tidak diendahkan. Ahana dibawa pulang oleh keluarganya, dia bersumpah untuk tidak kembali lagi kerumah mereka. Ibubapanya bergaduh dan tanpa disangka-sangka bapa Ahana menampar ibunya, sesuatu yang tidak pernah dia lakukan selama ini. Bapa Ahana berkata yang dia tersilap kerana terlalu banyak mengalah dan membiarkan rumahtangga anaknya porak-peranda. Ibu Ahana akhirnya sedar akan kesilapannya dan meminta maaf kepada Ahana dan Ayaan.Akhirnya, mereka berbaik-baik semula dan Ahana mula sedar akan kesilapan yang dilakukan.

Fuhhh....berpeluh-peluh juga nak buat sinopsis cerita ni. Cerita hindustanlah katakan. Apapun antara pengajaran yang boleh saya ambil darinya:

1.Kasih seorang ibu membawa kita ke syurga, bak kata pepatah Arab "Syurga itu dibawah telapak kaki ibu".
2.Seorang ibu yang baik sesekali tidak akan meninggalkan anaknya yang memerlukan
3.Tempat seorang isteri adalah disisi suaminya
4.Seorang anak lelaki tidak pernah boleh terlepas tanggungjawabnya terhadap ibunya walaupun sudah berumahtangga
5.Perlu ada sikap saling bahu-membahu dalam rumahtangga.
6.Rasulullah sebaik-baik ikutan
7.Talak merupakan perkara halal yang paling dibenci Allah. Pernah dikatakan tiang arasy bergegar apabila seorang isteri itu meminta perceraian (talak).

Ewwwah, saya ni belum lagi melangkah ke alam perkahwinan. Dah memandai je nak membuat rumusan. Sekadar peringatan buat yang bakal dan sudah berkahwin, malah yang menulis ni. Semoga ikatan halal yang terbina terus-menerus diredhai dan dirahmati ALLAH, aamin.


Bila Hati Berbisik: Ya Allah, ampunilah dosaku dan juga dosa kedua ibubapaku, kasihilah mereka sepertimana mereke mengasihiku ketika aku kecil, aamin...


Monday, July 21, 2008

SEPINGGAN DOSA BERULAM 'PAHALA'

Menjenguk ke laman Ustaz Hasrizal, hati saya terketuk dengan artikel yang bertajuk di atas. Sebagai insan biasa yang tidak lepas dari salah dan silap, terkadang saya juga merasai kebimbangan dengan muamalat saya terhadap insan yang berlainan jantina. Saya mohon pada ALLAH agar sudi mengampunkan dosa saya serta sahabat-sahabat saya yang juga menghadapi dilema yang sama. Alhamdulillah hati ini belum lagi terisi dengan mana-mana insan dan saya juga bersyukur kerana masih boleh mempertahankan diri untuk tidak bercinta sebelum adanya ikatan yang halal antara saya dengan pasangan saya yang halal disisi syarak. Doakanlah agar ALLAH mengabulkan permohonan saya dan anda semua. Wallahu'alam.


SEPINGGAN DOSA BERULAM 'PAHALA'

Sesungguhnya saya gusar malam ini. Saya telah menerima email dari seorang muslimah dan saya menggunakan istilah muslimah untuk mengistilahkan dirinya di alam realiti.Namun masalah yang muslimah ini hadapi menjadikan saya sugul.Percaya atau tidak, kes sepertinya sudah amat banyak yang sampai kepada email saya secara anonimus. Supaya warga kampus bangun mencelikkan mata, saya perturunkan salinan email jawapan saya kepada muslimah tersebut (secara anonimus), untuk muhasabah pembaca sekalian.

Kepada Allah juga saya mohon petunjuk dan perlindungan…

Assalamualaikum WBT.

Terdiam ustaz membaca email ukhti.

Kerana ini adalah email yang entah ke berapa menceritakan kes yang sama.

Percaya atau tidak, kes seperti ini semakin menular di kalangan generasi ukhti, sekurang-kurangnya pada apa yang sampai ke pengetahuan ustaz. Ustaz perlukan banyak masa untuk merenung dan berfikir, di manakah silapnya.

Antara kes sebelum ini, seorang muslimah berjubah dan bertudung labuh sangat mengasihi teman lelakinya. Jam 4 pagi, beliau menghantar sms mengingatkan teman lelakinya agar bangun bertahajjud… tetapi kemudian rahsianya terbongkar bahawa muslimah itu sebenarnya adalah ISTERI ORANG.

Semakin ramai siswa dan siswi cuba menjustifikasikan bahawa cinta mereka adalah suci kerana mereka ber’sms’ hal-hal iman dan amal, sedangkan yang terangsang bukanlah keinginan untuk beribadah, tetapi gelodak nafsu yang licik menipu.

Ustaz tak tahu nak start dari mana. Tetapi subjek utama dalam masalah ini adalah diri ukhti sendiri. Bukan soal teman lelaki ukhti, bukan soal apa yang Allah qadha dan qadarkan ke atas ukhti, bukan bakal anak yang nanti terkesan oleh dosa yang sedang dilakukan hari ini. Semuanya adalah persoalan diri ukhti sendiri. Sama ada ukhti mahu mengubah keadaan ini atau tidak. Itu sahaja.

Jika ukhti benar-benar mahu bertaubat, taubat dari belenggu dosa seperti ini harus disertakan dengan hijrah. Jika setiap kali bertemu dengan si dia mengingatkan ukhti kepada dosa yang ‘manis’ itu, maka ukhti mesti jujur dalam menilai. Apatah lagi ia bukan hanya soal perasaan. Ia adalah perasaan yang sudah direalisasikan oleh zina kecil sebelum Zina besar sebagaimana yang ukhti jelaskan. Maka ia bukan lagi soal mainan perasaan. Kalian berdua saling menjadi punca maksiat kepada satu sama lain.

Jika hubungan ini diteruskan, ukhti dan teman itu akan memikul kesannya di kemudian hari.

Rumahtangga yang dibina selepas banyak kemaksiatan dan keterlanjuran, akan dihukum oleh Allah dengan perasaan syak wasangka yang bakal menyelubungi perkahwinan itu. Masing-masing telah berjaya membuktikan bahawa Allah ‘telah kalah’ dalam perhubungan antum.

Maka, di masa depan nanti, suami akan sentiasa berfikir, jika ukhti berani melawan Allah bersamanya, apa lagi yang mampu menyekat ukhti dari melakukan perkara yang sama dengan lelaki lain. Ukhti juga akan berfikir, jika dia pernah berani beberapa kali membelakangkan Allah dalam perhubungan ini bersama ukhti, apa yang boleh menghalangnya dari melakukan perkara yang sama dengan perempuan lain.

Inilah yang ustaz temui di sepanjang pengalaman hidup, bertemu dengan pasangan yang pernah berdosa sebelum berumahtangga. Amat berat hukuman Allah apabila sebuah rumahtangga dibina tanpa kepercayaan di antara satu sama lain. Ia adalah hukuman dunia sebelum hukuman Akhirat.

Jika ukhti dan si dia masih bertarung dengan perasaan, maka ustaz boleh menasihati agar kalian saling berusaha untuk menjaga diri dan mempercepatkan perkahwinan. Tetapi ukhti dan si dia sudah saling bersentuhan, maka sama ada segeralah berkahwin, jika berani berdepan dengan risiko itu (mudah-mudahan terhindar dengan taubat bersama yang benar-benar tulen) atau saling berhijrahlah antum dengan meninggalkan satu sama lain, sejauh mungkin. Mulakan hidup baru dan mohonlah petunjuk dari-Nya.

Ustaz bersimpati dengan gelora yang ukhti hadapi tetapi ustaz enggan menghulurkan simpati itu andai ia menyebabkan ukhti mendapat ketenangan kerana tidak ada sumber penyelesaian kepada konflik ini kecuali taubat dan hijrah.

Lelaki dan perempuan yang baik bukanlah yang memakai kosmetik Islam pada sms berbau Islam atau pakaian berwarna Islam, tetapi pada kekuatan menghalang diri dari saling mengotorkan pasangan dengan maksiat. Betulkan kembali penilaian ukhti terhadap si dia yang ukhti katakan ‘baik’.

Sesungguhnya cabaran selepas berkahwin adalah jauh lebih berat berbanding dengan sekadar cabaran mengelak dari zina sebelum kahwin. Jika ini pun gagal, muhasabahlah diri segera sebelum melangkah ke usia dewasa yang lebih mencabar itu.

Ustaz doakan ukhti beroleh kekuatan dan petunjuk dari Allah untuk menyusun kembali kehidupan. Maaf andai bahasanya pahit, tetapi dalam pahit itu selalu ada penawarnya.

Tiada siapa yang mampu membantu ukhti kecuali ukhti sendiri sebagai tuan empunya badan dan kehidupan.

Salam dan doa dari ustaz.

ABU SAIF


Bila Hati Berbisik: Ya ALLAH, dosaku menggunung tinggi, namun rahmatMU itu melangit luas...





Wednesday, July 16, 2008

LUPA NAK KOMEN PASAL PROTES



Sibuk-sibuk dengan isu Penasihat PKR itu, terlupa pulak saya nak memberi pandangan tentang PROTES baru-baru ni. Isu yang agak hangat, insiden tunjuk punggung pada hadirin di Stadium Kelana Jaya baru-baru ini oleh Alak, vokalis kumpulan Carburetor Dung (salah sebuah kumpulan muzik yang memperjuangkan aliran punk di Kuala Lumpur). Memang kecoh bunyinya bila PAS ditiduh tidak terbuka dalam soal ini. Menjenguk ke blog Ustaz Nasrudin Tantawi, perasaan simpati menyelinap dihati saya. Berbakul-bakul sumpahan dan cacian yang beliau terima, samada dalam sms mahupun komen dalam blog beliau sendiri. Hmm, sunnah orang berjuang, detik hati kecil saya.

Mungkin pada pandangan manusia yang berfikiran liberal, tiada masalah langsung dengan konsert tersebut. Tapi seikhlasnya saya, Suluh Budiman yang masih menjunjung tinggi nilai ketimuran yang mana tidak bercanggah dengan syariat, amat tidak bersetuju dengan pendekatan kumpulan tersebut dalam program rakyat sebegini. Saya pun terasa hairan bilamana menjenguk ke laman web sahabat2 yang menceritakan keadaan PROTES yang tak ubah seperti Karnival, bukannya laungan atau gambaran tidak puas hati rakyat tentang kenaikan harga minyak dan juga pelbagai masalah lain. Seolah-olah kita ini berbangga dan bersyukur pula dengan kenaikan harga minyak, rahmat barangkali!

Kumpulan muzik beraliran punk antara kumpulan yang menyanjung tinggi Nazi Jerman, anti hipokrit, benci kepada kerajaan yang korup kononnya, malah pelbagai hal lagi. Sekali imbas, matlamat yang dilakukan oleh kumpulan beraliran punk ini, ada yang baik, namun cara yang dilakukan tidak relevan. Malah mereka mungkin tidak menyedari bahawa itu semua hanyalah propaganda Yahudi laknatullah untuk menyesatkan umat manusia lebih-lebih lagi umat ISLAM hari ini yang semakin jauh dari ALLAH. Akhir kata, tinggallah konsert PROTES dalam kenangan. Saya salute kepada Unit AMAL dan PEMUDA kerana berusaha mencegah kemungkaran. Semoga hal-hal sebegini menjadi pengajaran serta tidak berlaku lagi di masa-masa akan datang. Wallahu'alam.


Bila Hati Berbisik: Patut hati saya berbisik rasa berat untuk ke PROTES hari itu, rupa-rupanya ada kontroversi yang timbul, alhamdulillah kerana ikut kata hati yang berbisik...('',)

ISU ANWAR: MAKIN HANGAT NAMPAK?


Semalam yang berlalu dengan HUJAH di TV9 (dekat lagi ke dihati?), perbahasan dan provokasi yang sengaja dilemparkan oleh Johan Jaafar dan Shabery Chik hanya dapat dikesan dengan jelas oleh rakyat yang celik dengan ilmu dan maklumat terkini negara. Johan Jaafar yang terkenal dengan provokasi beliau saya lihat sengaja untuk memberikan soalan yang kadang-kadang merumus kepada sokongan untuk kerajaan. Shabery Chik pulak asyik mainkan lagu-lagu lama, berkenaan dakwaan salah laku Anwar Ibrahim. Cerdik ke cara provokasi sebegitu dari seorang yang bergelar Menter Penerangan?

Saya tidak nampak relevannya memanggil Shabery Chik untuk membincangkan isu-isu berkenaan minyak malah isu terkini rakyat. Anwar bukan lawannya. Sekurang-kurangnya biar Shahril Samad tu yang menjawab, tidak pun Menteri Kewangan sendiri (itu kalau berani la). Tradisi puak-puak UMNO ni, sorak luar gelanggang berdegar-degar, masuk dalam kecut, kemudian bikin 1001 fakta bohong. Teringat saya malam semalam di TV1 semasa sidang parlimen. Ada seorang wakil parlimen Pasir Salak tak silap saya, katanya lebih kurang mempertikaikan fakta yang dimiliki pembangkang, yang tidak benar kononnya.

Rakyat mudah terpengaruh dengan pembangkang kerana gaya persembahan yakni gaya percakapan, bukan berdasarkan fakta yang betul. Sesuka hati dia je nak mengata rakyat. Apa, ingat rakyat ni bodoh sangat nak terima bulat-bulat? Kalau rakyat luar bandar yang masih kurang terdedah dengan ilmu dan maklumat, bolehlah deme nak kelentong. Ini rakyat generasi muda yang dah mula rasa masalah dengan kepimpinan sekarang. Payah kalau orang tak sedar yang rakyat dah mula bencikan BN ni, asyik nak tuding jari pada pembangkang je la. Apapun, sama-sama nantikan debaran episod terkini ANWAR selepas ditangkap oleh polis tengahari tadi. Malaysiaku dalam bahaya?



Bila Hati Berbisik: Ujian dari ALLAH pelbagai peringkat, mudah-mudahan hati orang MUKMIN itu sentiasa dalam pimpinan AR-RAHMAN, walau diuji dengan 1001 kepayahan sekalipun, aamin!