Monday, June 30, 2008

PANDANGAN MATA


Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki
Kalau hati itu bersih

Hati kalau terlalu bersih
Pandangannya kan menembusi hijab
Hati jika sudah bersih
Firasatnya tepat kehendak Allah
Tapi hati bila dikotori
Bisikannya bukan lagi kebenaran

Hati tempat jatuhnya pandangan Allah
Jasad lahir tumpuan manusia
Utamakanlah pandangan Allah
Daripada pandangan manusia

Selamat Datang Ke Perasmian "Bila Hati Berbisik..."


Ahlan Wasahlan wa Marhaban Bikum kepada semua pengunjung yang sudi menjengukkan diri ke teratak blog saya yang tak seberapa ini. Sedikit interview dengan diri sebagai jawapan untuk blog yang baru dihasilkan.



1.APA ITU HATI?

Dari sudut sains :
Hati merupakan organ homeostasis yang memainkan peranan penting dalam proses metabolisma dalam manusia dan haiwan. Hati mempunyai pelbagai fungsi termasuk menyimpan glikogen, mensintesis protein plasma, dan menyahtoksik dadah. Ia menghasilkan hempedu yang penting bagi penghadaman. Ia melaksana dan mengawal pelbagai fungsi biokimia jumlah besar yang memerlukan tisu khas. Istilah perubatan yang berkaitan dengan hati sering kali bermula dari perkataan Greek bagi hati iaitu hepar, menjadi hepato- atau hepatic. Hati berwarna perang kemerahan dan terletak di bawah diafragma iaitu di dalam rongga abdomen. Hati menerima makanan terlarut dalam darah apabila makanan ini tercerna dan diserap di usus. (Sumber:Wikipedia)

Pandangan agama ISLAM pula:
Seorang ibu yang dermawan telah menghadiah seekor kambing kepada Loqman al-Hakim seraya berpesan: “Sembelihlah kambing ini dan berikan saya bahagian yang terburuk daripadanya untuk saya makan.” Setelah disembelih, dikirimkan kepada ibu tersebut hati dan lidah kambing itu.Beberapa hari kemudian, ibu itu sekali lagi menghadiahkan seekor kambing dan berpesan agar sesudah disembelih dikirimkan juga kepadanya sebahagian daripadanya. Pada kali yang kedua ini, bukan lagi bahagian yang terburuk yang dipesankannya, tetapi dimintanya bahagian yang terbaik daripada kambing itu.Setelah kambing disembelih, Loqman mengirim hati dan lidah juga kepada ibu yang dermawan itu. “Kenapakah tuan mengirimkan kepada saya lidah dan hati ketika saya meminta bahagian yang terburuk, dan kenapakah yang itu juga dikirimkan ketika saya memesankan bahagian yang terbaik daripadanya?” tanya ibu tersebut kepada Loqman. Loqman menjawab: “Hati dan lidah amatlah baik ketika baiknya dan apabila keduanya buruk maka amatlah pula buruknya.”

2.KENAPA TAJUK BLOG INI "BILA HATI BERBISIK..."?
Biasanya apabila mahu melakukan sesuatu, manusia yang sudah diberi kelebihan untuk berfikir dengan baik akan mengkaji baik-buruk sesuatu hal yang bakal dilaksanakan, malah natijah yang akan diterima hasil dari perbuatan yang dilakukannya. Bisikan hati yang bersumberkan hidayah dari ALLAH berbekalkan panduan Al-Quran dan As-Sunnah akan berusaha sedaya-upaya untuk terus-terusan melakukan amal kebaikan kerana bisikan hatinya adalah benar dari Allah dan ajaran Rasulullah S.A.W. Bisikan hati yang didorong dengan Hidayah Allah merupakan hasil daripada hati yang bersih, pandangan manusia yang berhati BERSIH akan menembusi hijab serta firasatnya selari dengan kehendak dan ketentuan Allah. Oleh sebab itulah Rasulullah S.A.W pernah dibelah dada baginda oleh Malaikat Jibril a.s untuk membersihkan hati baginda daripada segala sifat mazmumah. Jelas disitu akan kita fahami bahawa bisikan hati yang salah didorongi oleh syaitan dan hawa nafsu. Seringkali mengajak manusia kearah perkara-perkara yang mungkar serta melalaikan. Sama-samalah kita memohon perlindungan kepada ALLAH agar hati kita sentiasa terpelihara daripada sifat-sifat keji yang dibenci ALLAH, malah akan istiqamah sebagai hambaNYA yang taat beribadah.



3.BILA BLOG INI DIHASILKAN?
Blog ini terhasil secara rasminya pada 30 Jun 2008 bersamaan 26 Jamadilakhir 1429H, hari Selasa jam 12 tengahari di salah satu tempat di Negeri Darul Iman oleh seorang hamba ALLAH yang berminat dengan penulisan blog tapi asyik terkandas kerana kesibukan (sibuk atau buat-buat sibuk je tu? x tahulah...huhuhu)



4. APA FOKUS UTAMA BLOG "BILA HATI BERBISIK.."?
Segala macam jenis perkara yang mana tidak menyalahi akidah, syariah dan juga akhlak sebagai seorang manusia yang beragama ISLAM. Para pengunjung amat dialu-alukan untuk memberi sebarang komen, cadangan, kritikan malah apa sahaja, asalkan masih dalam tatacara yang beradab juga berhemah dengan niat di hati menegur untuk kebaikan saudara sesama ISLAM, bukan nak menghentam tak tentu hala.



5.HARAPAN TERHADAP BLOG "BILA HATI BERBISIK...?"
Harap-harap lepas ni akan istiqamah untuk menulis dan dapat mengelakkan diri dari ikut mood dan emosi yang negatif, sedia terima segala bentuk kritikan untuk kebaikan bersama, sabar dan thabat dalam memperjuangan agama ALLAH di muka bumi ini. Mudah-mudahan sentiasa dalam peliharaanNYA jua, aaminnn....Sirru Ala Barakatillah.

Bila Hati Berbisik,
Seluruh jasad terasa asyik,
Harap pada ALLAH Maha Pemilik,
Segenap nafas hanya namaNYA terdetik.
Mudah-mudahan...

Hari:Selasa
Masa:13:36pm
Tarikh:30 Jun 2008 bersamaan 26 Jamadilakhir 1429H
Cuaca : Mendung tanpa angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa