Thursday, July 24, 2008

SESEKALI LAYAN CERITA HINDUSTAN...

Antara Kisah Kekeluargaan yang menyebabkan ibu saya menitiskan airmata...

Kalau ikutkan, dah lama saya tak berapa berminat untuk melayan cerita hindustan terkini. Iyelah, era terkini banyak sangat aksi-aksi berahi dan berani berbanding 10 tahun yang lalu. Tak saya nafikan, cerita hindustan ni hampir 95% isinya alam khayalan (bukan semua!), diibaratkan dadah penenang bagi golongan marhaen di India yang mengalami masalah kemiskinan dan kemunduran. Sebagai jalan keluar dari semua itu, menonton cerita-cerita yang menggambarkan keindahan, keasyikan duniawi agar terlepas bebanan mereka. Tidak hairanlah saya pernah terdengar jika kisah sedih yang dipaparkan, penonton akan membakar panggung wayang kerana mereka tidak boleh menerima kenyataan tentang kesedihan dan kesengsaraan sebagai klimaks sesebuah filem.

Namun Selasa malam baru-baru ni, saya agak teruja dengan sebuah filem Hindustan yang mungkin dibikin 5 atau 6 tahun yang lepas, atau mungkin sebelum itu lagi. Tajuknya saya lupa kerana saya menontonnya hampir suku cerita, maklumlah, saya bukan lagi penggemar cerita hindustan. Masa kecil tu 'boleh kiralah' kata orang Terengganu. Filem yang dilakonkan oleh Salman Khan dan Shilpa Shetty (tahu jugak nama pelakon tu, huhuhu). Salman Khan memegang watak sebagai Ayaan seorang pemuda yang baik dan sangat mengasihi keluarganya, manakala Shilpa Shetty memegang watak sebagai Ahana, gadis yang dibesarkan oleh keluarganya dengan nilai-nilai moden dan bercita-cita untuk menjadi seorang model.

Mereka bertemu, jatuh cinta dan akhirnya berkahwin. Masalah mula timbul apabila Ahana merasakan cinta mereka sudah tidak sehangat dulu. Ayaan lebih mengutamakan keluarganya, lebih-lebih lagi mereka tinggal sebumbung. Seringkali Ahana membangkitkan perkara yang remeh-temeh yang kadangkala menduga kesabaran Ayaan, tetapi dia tetap tenang menghadapi situasi tersebut. Puncak kemarahan Ayaan tercetus apabila Ahana memalukannya dalam majlis harijadi Ahana kerana dia merasakan Ayaan melebih-lebihkan adik perempuannya berbanding Ahana sendiri. Ayaan tidak dapat menahan kesabarannya dan menampar Ahana dikhalayak ramai. Terkejut dengan sikap Ayaan, Ahana meminta cerai dan disokong oleh ibunya yang banyak mempengaruhi hidup Ahana.

Rupa-rupanya Ahana mengandung kali kedua. Sebelum ini dia keguguran kerana jatuh dari tangga rumahnya. Ayaan menyangkakan Ahana sengaja melakukannya kerana Ahana pernah kata yang dia tidak inginkan anak tersebut. Pertengkaran berlaku dan Ayaan bersetuju untuk bercerai. Tempoh setahun diberikan oleh mahkamah, sekiranya dalam tempoh tersebut, mereka tidak rujuk, maka perceraian akan diluluskan tahun berikutnya. Ayaan meminta kebenaran mahkamah agar beliau mendapat keizinan untuk menghalang Ahana dari menggugurkan anak mereka serta kebenaran untuk tinggal bersama keluarga Ahana selama dia mengandung. Pelbagai insiden yang berlaku sehinggalah kepada kelahiran bayi tersebut.

Ahana yang pada mulanya tidak sabar-sabar untuk menghabiskan tempoh itu mula tersentuh sifat keibuannya apabila melihat layanan dan kemesraan keluarga Ayaan. Tambah-tambah lagi dia mendengar luahan hati ayahnya yang selama ini bersikap banyak menurut kata-kata ibunya bukan kerana takut tetapi kerana mahu anaknya (Ahana) sentiasa gembira. Nasihat dari ayahnya benar-benar membuatkan Ahana merasa insaf dengan sikapnya selama ini dan menyedari tentang kasih seorang ibu tidak pernah berubah untuk anaknya sampai bila-bila. Selama ini Ahana merasakan yang Ayaan sekadar mencintainya kerana kecantikan yang dia miliki.



Tiba hari yang dijanjikan, Ayaan menyerahkan Ahana kepada keluarganya. Ahana cuba merayu dan memohon maaf tetapi tidak diendahkan. Ahana dibawa pulang oleh keluarganya, dia bersumpah untuk tidak kembali lagi kerumah mereka. Ibubapanya bergaduh dan tanpa disangka-sangka bapa Ahana menampar ibunya, sesuatu yang tidak pernah dia lakukan selama ini. Bapa Ahana berkata yang dia tersilap kerana terlalu banyak mengalah dan membiarkan rumahtangga anaknya porak-peranda. Ibu Ahana akhirnya sedar akan kesilapannya dan meminta maaf kepada Ahana dan Ayaan.Akhirnya, mereka berbaik-baik semula dan Ahana mula sedar akan kesilapan yang dilakukan.

Fuhhh....berpeluh-peluh juga nak buat sinopsis cerita ni. Cerita hindustanlah katakan. Apapun antara pengajaran yang boleh saya ambil darinya:

1.Kasih seorang ibu membawa kita ke syurga, bak kata pepatah Arab "Syurga itu dibawah telapak kaki ibu".
2.Seorang ibu yang baik sesekali tidak akan meninggalkan anaknya yang memerlukan
3.Tempat seorang isteri adalah disisi suaminya
4.Seorang anak lelaki tidak pernah boleh terlepas tanggungjawabnya terhadap ibunya walaupun sudah berumahtangga
5.Perlu ada sikap saling bahu-membahu dalam rumahtangga.
6.Rasulullah sebaik-baik ikutan
7.Talak merupakan perkara halal yang paling dibenci Allah. Pernah dikatakan tiang arasy bergegar apabila seorang isteri itu meminta perceraian (talak).

Ewwwah, saya ni belum lagi melangkah ke alam perkahwinan. Dah memandai je nak membuat rumusan. Sekadar peringatan buat yang bakal dan sudah berkahwin, malah yang menulis ni. Semoga ikatan halal yang terbina terus-menerus diredhai dan dirahmati ALLAH, aamin.


Bila Hati Berbisik: Ya Allah, ampunilah dosaku dan juga dosa kedua ibubapaku, kasihilah mereka sepertimana mereke mengasihiku ketika aku kecil, aamin...


No comments: